Biografi Mudir

YBhg. Tuan Syeikh Hj Ghazali Bin Hj Abdullah

Seorang tokoh agama yang terkenal di Batu Hampar Pendang iaitu Haji Ghazali bin Haji Abdullah dilahirkan pada 12 Mac 1943 di Batu Hampar. Beliau merupakan Imam Masjid Batu Hampar Pendang. Beliau merupakan anak sulong daripada empat orang adik beradik hasil perkongsian hidup Haji Abdullah bin Haji Ismail dengan Hajjah Rahmah binti Haji Ibrahim. Ayah beliau merupakan mantan Imam Masjid Kg. Huma Padang Hang. Ayahnya juga pernah berkhidmat di pondok Langgar (Makarimul Akhlak). Kemudian beliau berkhidmat di Madrasatul Khairiah di Seberang Perai, Pulau Pinang. Selain itu, ayahnya juga pernah berkhidmat di Madrasah Ibrahimiah Batu Hampar Pendang, Kedah.

PERKAHWINAN & KELUARGA

Tuan Syeikh Ghazali mendirikan rumah tangga bersama seorang isteri bernama Soffiah binti Hassan dan dikurniakan lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

KEMAHIRAN

Tuan Syeikh Ghazali juga merupakan insan yang berbakat. Beliau berkemahiran berpidato dan pernah mendapat Johan dalam acara berpidato dalam Pertandingan Bulan Bahasa semasa beliau menuntut ilmu di Maaktab Mahmud Alor Setar, Kedah.

PENDIDIKAN AWAL

Beliau mula menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Pendang dan dahulunya merupakan Sekolah Umum Pendang. Selepas itu, beliau menukar pengajian beliau ke Darul Ma’arif Wathaniah di Kepala Batas Seberang Perai, Pulau Pinang pada 1958 hingga 1963. Seterusnya, pengajian beliau diteruskan iaitu di Maaktab Mahmud (Al Maahad Al Mahmud) Alor Setar, Kedah. Seterusnya beliau menyambung pengajian beliau di Nilam Puri iaitu Pusat Pengajian Tinggi Islam di Kelantan. Beliau dianugerakan Diploma Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Maaktab Perguruan Pulau Pinang pada 1973.

KERJAYA DENGAN KERAJAAN SEBAGAI GURU AGAMA

Tuan Syeikh Ghazali memulakan kerjayanya sebagai guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Marak Bachok, Kelantan pada 1968 hingga 1969. Selepas itu beliau bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Salor Pasir Mas, Kelantan pada 1969 hingga 1971. Kerjayanya sebagai guru agama diteruskan lagi di Sekolah Menengah Perempuan St. Geoge Geogetown, Pulau Pinang pada 1972. Selepas itu, beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Padang Serai Kulim, Kedah pada 1973 hingga 1975. Perkhidmatan beliau diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di Alor Setar, Kedah sebagai guru agama pada 1975 hingga 1976. Antara tahun 1977 hingga 1998, beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang, Kedah.

PERGERAKAN SOSIAL

Tuan Syeikh Ghazali merupakan seorang daripada Ahli Jawatankuasa Penggubal Kurikulum Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) Abim Pusat. Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengarah TASKI Abim Negeri Kedah dan Yang Dipertua Abim Negeri Kedah.

KERJAYA SEKARANG

Tuan Syeikh Ghazali merupakan Mudir Sekolah Rendah Agama Islah Pendang dan pernah juga menyandang jawatan Penolong Kanan Madrasah Al Islah Pendang, Kedah. Beliau juga merupakan bekas Sheikhul Al Maahadiah Maahad Tarbiah Islamiyah Derang Pokok Sena, Kedah. Seterusnya, beliau seorang Penasihat Persatuan Taman Asuhan Al-Quran zon utara Malaysia. Beliau juga seorang Ahli Jawatankuasa penggubal soalan pemeriksaan dan penemudugaan Tauliah Agama Jabatan Mufti Negeri Kedah. Selain itu, beliau seorang tenaga pengajar pelajaran al-Tasawuf di Pusat Dakwaf Alor Setar. Beliau juga seorang Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah - Sekolah Rendah Islam/Agama seluruh negeri Kedah (Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Negeri Kedah).

KETERLIBATAN DENGAN BADAN KEBUDAYAAN NGO

Tuan Syeikh Ghazali terlibat secara langsung dengan ABIM sebagai Yang Dipertua ABIM Pendang dan menjawat jawatan Yang Dipertua ABIM Kedah selama empat tahun. Beliau juga Terlibat dengan Badan Kebudayaan pada tahun 1964 hingga 1965 di Maaktab Mahmud Alor Setar, Kedah bersama dengan Almarhum Dato Seri Diraja Ustaz Azizan Bin Abdul Razak (Mantan Menteri Besar Kedah). Selain itu beliau juga terlibat dengan Jabatan Mufti dalam menyusun soal jawab pentauliahan, dan sebagai pemeriksa kertas (Tauliah Fardu Ain).

read more